Sabah FC sasar berada dalam 5 tempat utama Liga Malaysia – Kim Swee

KOTA KINABALU: Sabah FC meletakkan sasaran untuk berada dalam lima tempat teratas dalam persiangan Liga Malaysia 2022 dijangka bermula awal Mac depan.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata tetapi bagi setiap pemain, jurulatih serta pegawai terlibat sudah tentu inginkan lebih daripada sasaran itu berdasarkan persiapan sedia ada.

Barisan pemain Sabah FC. Gambar FB rasmi Sabah FC.

“Saya berharap kita mampu mencapai melebihi daripada apa yang kita inginkan…Namun kita tidak boleh terburu-buru sehingga bersikap sambil lewa dalam mengharungi setiap perlawanan.

“Daripada satu perlawanan ke satu perlawanan jika kita mampu mencapai kejayaan, saya percaya kita mempunyai peluang yang terbaik untuk mencipta sejarah atau pun melakar satu kejayaan terbaik kepada pasukan Sabah FC musim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Jersi Sabah FC di Kota Kinabalu semalam.

Mengulas mengenai kesebelasan utama menjelang Liga Malaysia Mac depan menentang Negeri Sembilan FC Kim Swee, berkata selepas mengharungi tiga perlawanan beliau masih belum mendapat senarai barisan utama memandangkan terdapat masalah kecederaan dalam kalangan pemain.

“Saya masih belum mendapat kesebelasan yang terbaik untuk diturunkan dalam setiap perlawanan. Ada dalam kalangan pemain masih dibelenggu kecederaan disamping mempunyai masalah tertentu.

“Namun saya percaya dalam dua minggu akan datang keserasian kalangan pemain akan bertambah baik sekali gus memudahkan kita memilih kesebelahan utama kelak,” katanya.

Kim Swee berkata perlawanan pertama Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) Sabah FC tewas kepada Kelantan FC namun menang menentang Sarawak FC dilihat ini menunjukkan satu disiplin cukup baik apabila menang ketika bermain dengan Kedah FC meski pun tanpa pemain utama.

“Kita ucapkan terima kasih pada Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor walaupun sibuk tugasannya tapi hadir bersama pemain serta pegawai sekali gus membuktikan beliau komited kepada Sabah FC.

“Ini pasti akan memberi motivasi pada semua terlibat dalam Sabah FC untuk kita melakar sesuatu pada tahun ini sekali gus memberi satu keyakinan mengharungi musim liga baru ini,” katanya.