KOTA KINABALU : Ketua Pembangunan Belia Sabah FC, Johnny Dominicus kembali ke padang untuk memantau sesi latihan mingguan TABS pagi semalam, selepas cuti panjang sempena ramadan, perayaan Hari Raya Aidilfitri dan selepas jurulatih itu bercuti dua minggu di luar negara, baru-baru ini.
Kehadiran jurulatih itu dialu-alukan para jurulatih TABS dan pelatih-pelatih yang menjalani sesi latihan hujung minggu.

Beliau turut memberi penerangan ringkas kepada pelatih selain berkongsi tips kepada jurulatih yang mengendalikan latihan.
Menurut Johnny, beliau bersama keluarga baru sahaja kembali dari percutian dan sekarang ada kelapangan untuk turun ke padang.
“Percutian itu sebenarnya sudah lama dirancang dan alhamdulillah baru dapat dimanfaatkan,” katanya ketika ditemui di sini, pagi ini.
Timbalan Pengerusi TABS, Lokman Sunggim mengalu-alukan kehadiran jurulatih itu pagi semalam kerana sudah menjadi rutinnya untuk datang memantau perjalanan sesi latihan program TABS setiap hujung minggu.
Katanya, jurulatih tersebut banyak membantu pengendalian latihan yang dijalankan selepas Johnny diberi peranan oleh Sabah FC sejak tahun lalu.
“Sebagai seorang jurulatih yang berpengalaman termasuk pernah membimbing skuad Liga Super, Liga Perdana, SUKMA, Piala Presiden dan Piala Belia, khidmat beliau memang sangat diperlukan dalam membantu menjayakan program pembangunan bola sepak yang kami kendalikan,” ujar Lokman.
Tambahnya, secara kebetulan Johnny adalah seorang jurulatih sepenuh masa dalam bola sepak sejak meninggalkan pekerjaan dalam kerajaan dan kehadirannya dalam industri sukan ini sangat baik untuk Sabah sendiri.
“Kita sedar jurulatih ini mempunyai misi lebih jauh dalam bola sepak dan pihak kami sudah tentu akan memberi sokongan baik kepadanya,” kata beliau.
