Pelari ultra Sabah takluk BTR Ultra Bali

KOTA KINABALU: Pelari ultra wanita Sabah, Noor Hafizah Zubaidi atau Fifiana membuktikan keupayaannya apabila berjaya menamatkan perlumbaan BTR Ultra Mt. Batur 2026 di Bali, Indonesia dan meraih kedudukan kedua kategori umur.

Fifiana yang mewakili Runsynd Running Club berjaya menamatkan perlumbaan kategori 100 kilometer dalam masa 31 jam 45 minit 55 saat, sekali gus berada di kedudukan kesembilan keseluruhan wanita.

Perlumbaan tersebut dianggap antara acara ultra trail paling mencabar di Asia Tenggara apabila peserta perlu merentasi laluan gunung berapi, hutan tebal serta pendakian ekstrem dengan jumlah elevasi lebih 7,000 meter.

Menurut Fifiana, penyertaan sulungnya di Bali menjadi pengalaman yang cukup berharga walaupun terpaksa berdepan cabaran fizikal dan mental yang luar biasa.

“Pada mulanya saya agak gementar kerana ini kali pertama menyertai BTR Ultra, namun saya bersyukur berjaya menamatkan perlumbaan dan membawa nama Sabah ke pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan sepasukan, penaja dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan kariernya dalam sukan larian ultra.