Sabah FC lengkapkan suntikkan vaksinasi – Kurniawan

KOTA KINABALU: Sabah FC sudah melengkapkan suntikan dos kedua selepas semua pemain, jurulatih serta pegawai pasukan menerima vaksinasi pagi tadi.

Ketua Jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto menyifatkan suntikan vaksinasi penting kepada semua pasukan bagi memastikan kesihatan serta keselamatan mereka sentiasa terjamin sekali gus melancarkan perjalanan dalam saingan Liga Malaysia 2021.

Katanya semua mereka dos pertama vaksin jenis Pfizer BioNtech pada 2 Jun lalu dan hari ini merupakan suntikan vaksinasi dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hotel Pacific Sutera, Kota Kinabalu.

“Vaksin ini penting untuk memastikan imuniti kelompok dapat diwujudkan bagi mengawal pandemik disamping melindungi Sabah FC daripada penularan pandemik COVID-19 sekali gus dapat melancarkan lagi saingan Liga Malaysia dengan kehadiran pasukan serta penyokong ke stadium kelak,” katanya.

Kurniawan berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.

Kurniawan percaya setiap pasukan akan berasa lebih selamat meneruskan tanggungjawab beraksi di atas padang selepas menerima suntikan vaksinasi berikutan beberapa pasukan lain turut sama selesai mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin.

Sementara itu ketika mengulas mengenai perkembangan pasukannya, Kurniawan berkata, Skuad The Rhinos kini sedang menjalani latihan secara Camp Based Training di Padang Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sejak 7 Jun lalu.

“Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya Sabah FC lebih-lebih lagi dengan kehadiran pemain import baharu, Josip Ivancic yang sempat beraksi ketika bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas sebelum liga berhenti rehat dan Nazirul Naim yang dipinjamkan dari Perak FC semasa jendela perpindahan dibuka Mei lalu, “ jelasnya,

SabahNewsToday