Dua jaringan Ramon Machado bantu Sabah FC tewaskan Kuching City FC 4-3 di Stadium Likas

KOTA KINABALU: Dua jaringan pemain import Ramon Machado membantu Sabah FC menewaskan Kuching City FC 4-3 pada saingan Liga Super di Stadium Likas, petang tadi.

Jaringan kemenangan Sabah FC menerusi Ramon pada masa kecedaraan minit ke-93 meneruskan rekod tanpa kalah pasukan sang badak di gelanggang sendiri.

Sabah FC bermula garang pada separuh masa pertama dengan mendahului jaringan 2-0 menerusi jaringan Saddil Ramdani yang membuka jaringan pada minit ke-12 dengan menyempurnakan sepakan percuma dengan cantik mengelirukan benteng pemain Kuching City FC.

Ramon yang membuat penampilan pertama menambah jaringan kedua Sabah FC pada minit ke-27 menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Saddil Ramdani.

Bersambung babak kedua, Kuching City FC cuba bangkit dan memperolehi gol pertama menerusi Amir Amri Salleh pada minit ke-55.

Tiga minit kemudian pada minit ke-58, Stuart Wilkin menambah gol ketiga Sabah FC menerusi tendangan derasnya dari luar kotak penalti.

Selepas itu, Kuching City FC melancarkan beberapa serangan yang akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan Abu Kamara pada minit ke-67 dan ke-86 untuk menyamakan jaringan 3-3.

Namun, ketika masa tambahan kecederaan, Sabah FC tidak berputus ada untuk mendapatkan gol kemenangan yang akhir berjaya diperolehi menerusi jaringan Ramon pada minit ke-93.

Kemenangan ini membolehkan Sabah FC menduduki tangga keempat pasukan dalam Liga Super dengan 30 mata.

Selepas ini Sabah FC akan beraksi lagi di laman sendiri menentang Sri Pahang FC pada 15 Julai ini.