Ag Aslee dipilih Presiden Persatuan Bola Baling Sabah

KOTA KINABALU: Datuk Awang Aslee Lakat dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Baling Negeri Sabah (PBBNS) sesi 2022 – 2023 pada mesyuarat agung ke-tujuh di sini, kelmarin.

Jawatan Timbalan Presiden dimenangi, Vijaya Kumar A/L Arumugam manakala tiga Naib Presiden yang turut terpilih iaitu Rizwan Dahlan, Ali Hussin Mohd Sait @ Mohd Said serta Nazir Salleh.

Ag Aslee bersama Jawatankuasa PBBNS sesi 2022 – 2023.

Mohd Yahdi Ag Matusin pula dilantik sebagai Setiausaha dan Abdul Rahman Mohd Taib dilantik sebagai Bendahari persatuan tersebut.

Seramai enam Ahli Jawatankuasa yang dipilih terdiri daripada Sazry Rame; Jasri Dullah; Awang Mohd Taufiq Awang Ali; Nurul Nadia Az-Zahra Hazizan; Wan Dayangku Syawana Ag Matasan serta Azami Laman.

Mesyuarat Agung itu dirasmikan Presiden Persatuan Bola Baling Malaysia, Pandak Ahmad.

Ketika ditemui, Ag Aslee berkata, pihaknya akan berusaha melakukan yang terbaik bagi meningkatkan mutu sukan itu di negeri ini.

“Saya akan lakukan yang terbaik serta berusaha lebih gigih untuk meningkatkan lagi mutu permainan sukan bola baling di negeri ini,” katanya.

Beliau mengucapkan penghargaan serta terima kasih kepada semua perwakilan yang memberi sokongan serta kepercayaan kepadanya untuk menerajui persatuan berkenaan.

Katanya, ribuan terima kasih kepada perwakilan yang hadir dalam mesyuarat ini sekali gus memilihnya untuk mengalas jawatan tersebut.

Ag Aslee juga mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa yang turut diberi mandat dalam persatuan itu bagi sesi 2022 hingga 2023.