Jangan leka, fokus perlawanan seterusnya – Kim Swee

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengingatkan agar anak buahnya supaya tidak lela pada kemenangan pertama menentang PDRM FC malam tadi.

Menurutnya, meskipun meletakkan harapan tinggi pada aksi malam tadi namun Kim Swee tidak mahu mereka terlalu yakin selepas kejayaan membelasah PDRM.

“Perlawanan selepas ini, lebih penting bagi memastikan Sabah FC dapat terus mengutip mata penuh dalam misi memburu kedudukan yang terbaik dalam Liga Super.

“Ini hanya satu perlawanan pertama (menentang PDRM FC), jadi kita tidak boleh terlampau yakin. Namun, mendapat tiga mata adalah amat penting untuk perlawanan pembukaan,” katanya dalam sidang media malam tadi.

Kim Swee berkata, selepas ini masih banyak lagi perlawanan dan beliau yakin perlawanan selepas ini bukan mudah.

“Apa yang penting kita harus kekal fokus dengan apa yang kita perlukan perlawanan akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai status kesebelasan utama menjelang setiap perlawanan Kim Swee berkata, tiada istilah kesebelasan utama, sebaliknya semua pemain dalam pasukan dianggap penting dalam skuad Sabah FC.

Katanya, semua pemain yang akan diturunkan mesti memberikan persembahan terbaik bagi memastikan kemenangan dalam setiap perlawanan selepas ini yang disifatkannya lebih mencabar.

“Kita melakukan persiapan selama lapan minggu dan kita mempunyai ramai pemain sekarang yang boleh menggantikan pemain sedia ada tapi dalam pasukan Sabah tiada istilah kesebelasan utama.

“Bagi saya kesemua pemain yang didaftarkan adalah kesebelasan utama dan saya berharap setiap pemain yang diturunkan pada perlawanan akan datang, mereka menunjukkan prestasi yang sama seperti mana pemain lain lakukan,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi, Sabah menjaringkan dua gol pada setiap separuh masa dengan dua daripadanya disumbangkan Saddil Ramdani, pada minit ke-12 dan minit ke-71.

Dua gol diperoleh Park Taesu pada minit ke-36, disusuli Stewart John Wilkin pada minit akhir permainan.