KUALA LUMPUR (Bernama): Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe perlu diberi ruang sepenuhnya menggalas tanggungjawab membimbing skuad Harimau Malaya, terutama dalam aspek pemilihan pemain.
Malah dengan kedudukannya itu, Cheng Hoe mempunyai hak prerogatif untuk menentukan kesebelasan utama pasukan, dalam setiap perlawanan diharungi skuad negara.
Bekas pengendali skuad kebangsaan Dollah Salleh berkata sebagai ketua jurulatih, Cheng Hoe lebih mengenali dan mengetahui tahap keupayaan barisan pemainnya, selepas menghabiskan banyak masa serta tenaga menilai perkembangan prestasi pasukan, dalam sesi latihan.
Beliau turut menyifatkan tiada siapa lebih bertanggungjawab terhadap ‘jatuh bangun’ prestasi pasukan, selain ketua jurulatih.
“Siapa pemain akan beraksi itu jurulatih yang tentukan, sebab dia hari-hari bersama pemain dan hari-hari memantau perkembangan pemain tersebut. Jangan kita pertikaikan keputusan jurulatih, tidak boleh begitu,” katanya ketika dihubungi Bernama.
“Pilihan pemain dibuat jurulatih disebabkan dia dapat kepuasan yang diinginkan daripada pemain itu, berdasarkan dari sudut prestasi individu dalam latihan, tetapi apabila pada perlawanan sebenar dia (pemain) tidak menjadi. Itu lah lumrah bola sepak,” kata beliau.
Susulan dua kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini, pelbagai pihak mula mempertikaikan pemilihan 26 pemain, yang menggalas cabaran pasukan negara pada kempen kelayakan itu.
Tumpuan lebih terarah kepada tiga pemain naturalisasi dalam skuad bimbingan Cheng Hoe, yang bukan sahaja disifatkan tidak memberikan impak kepada prestasi pasukan negara, malah disebabkan gagal beraksi cemerlang mereka dianggap tidak memiliki semangat patriotik.
Bagaimanapun, Dollah yang juga bekas bintang skuad kebangsaan era 80-an berkata, tiada istilah pemain tidak mempunyai semangat apabila setiap kali menyarung jersi pasukan negara.
“Itu bukan isunya (semangat), siapa yang tidak semangat bila bermain untuk pasukan negara, cuma nak buat pasukan bermain sebagai sebuah pasukan bukan senang, persiapan pasukan kali ini pun terlalu singkat. Semua pemain ada semangat untuk beraksi, sama ada dia ‘perform’ atau tidak, itu sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan yang diterima penyerang naturalisasi Guilherme De Paula sejak dari pertemuan menentang UAE awal bulan ini, Dollah berpendapat prestasi pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu, semakin meningkat dari perlawanan ke perlawanan.
“Dia (De Paula) tak ‘perform’ dalam dua perlawanan awal, tetapi saya nampak ada banyak peningkatan pada aksi terakhir. Menentang UAE dia banyak berdiri tercegat dalam perlawanan, lawan Vietnam ada nampak sedikit pergerakan dibuat, dan penglibatan dia dalam permainan lebih dilihat masa lawan Thailand.
“Kalau dia (De Paula) tidak mempunyai semangat negara, tengok cara dia meraikan jaringan penalti lawan Vietnam, itu disebabkan dia nak tunjukkan semangat yang dia ada,” jelas Dollah.
Selain De Paula, dua lagi pemain naturalisasi negara ialah Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.
Malaysia menamatkan saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di tempat ketiga Kumpulan G, selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi semalam.
Kedudukan itu membolehkan Malaysia melangkah secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023, yang dijadual berlangsung antara Februari dan Mac tahun depan.
SabahNewsToday