Kongres SAFA luluskan pindaan perlembagaan Artikel 22 (4)

Benedict Asmat

Oleh: Zakaria Damit
KOTA KINABALU: Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada Sabtu lepas meluluskan pindaan perlembagaan Artikel 22 (4) persatuan itu.

Setiausaha Agung SAFA, Benedict Asmat berkata, pindaan itu membolehkan Jawatankuasa Eksekutif, Setiausaha Agung dan Bendahari mengambil bahagian dalam kongres dan mempunyai hak mengundi.

Menurutnya, undian Jawatankuasa Eksekutif, Setiausaha Agung dan Bendahari hendaklah disifatkan sebagai undi oleh ahli yang hadir dan layak mengundi.

Semasa memegang jawatan, Ahli Jawatankuasa juga tidak boleh dilantik sebagai perwakilan bagi mana-mana ahli.

Sebelum ini katanya, Jawatankuasa Eksekutif, Setiausaha Agung dan Bendahari yang hadir dalam kongres tidak mempunyai hak untuk mengundi.

Benedict berkata, pindaaan itu adalah antara pindaaan terhadap sembilan perkara dalam perlembagaan persatuan yang diluluskan dengan persetujuan semua wakil gabungan SAFA Daerah yang hadir.
Belia berkata, semua pindaan itu diperkemaskan semula sesuai dengan perkembangan semasa.

“Peguam persatuan turut memberi pandangan dan nasihat bagi pindaan perlembagaan itu dan berterima kasih kepada semua wakil gabungan kerana telah meluluskannya dalam kongres tahunan persatuan di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabtu lepas,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kongres Tahunan SAFA bagi tahun 2020 sepatutnya diadakan tahun lalu dianjakkan ke tahun ini disebabkan krisis pandemik COVID-19.

Beliau berkata, sebaik mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan, pindaan dalam perlembagaan itu boleh digunapakai dalam Kongres Pemilihan SAFA tahun depan.

Sehingga ini, SAFA mempunyai 26 gabungan daerah dari seluruh negeri tetapi tiga daripadanya menerima penggantungan kerana gagal menghantar laporan kepada Pesuruhjaya Sukan.

Bagaimanapun katanya, SAFA Negeri akan meminta gabungan yang tidak aktif itu supaya berusaha untuk membolehkan mereka dapat dihidupkan semula dan dapat bergerak aktif semula seperti gabungan yang lain.

Benedict sebelum ini merupakan Naib Presiden SAFA tetapi telah melepaskan jawatan itu bagi membolehkan dia dilantik sebagai Setiausaha Agung SAFA yang baharu sebaik sahaja Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin diberi mandat Ahli Majlis Tertinggi SAFA untuk menjadi Pemangku Presiden badan bola sepak itu akhir tahun lalu.

SabahNewsToday

Leave a Reply