Oleh: Zakaria Damit
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan mengambil tindakan segera bagi membaiki jambatan runtuh di kampung Tahubang Ranau.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau telah menerima laporan berkenaan dari JKR Ranau mengenai kejadian itu dan pihak JKR Ranau sudah turun padang bagi memantau serta memberikan laporan terperinci mengenai kerosakan yang dialami.
Dalam kejadian pada malam isnin lepas, sebuah jambatan konkrit merentasi Sungai Tagubang di Ranau runtuh disebabkan berlakunya hakisan pada abutmen jambatan berkenaan.
Laporan sebuah protal menyatakan berikutan kejadian itu, beratus penduduk dari Kampung Kenipir Gana ke Gana Gaur serta kampung persekitaranya terjejas.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya sudah meminta pihak jurutera daerah Ranau memantau dan memberikan laporan terperinci mengenai kejadian itu, difahamkan laporan serta anggaran kos pembaikan telah dikemukakan ke ibu pejabat JKR Sabah.
“Untuk kes-kes seperti ini kita akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk memperbaikinya” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Bung berkata, bagi jangka pendek untuk mengatasi kesukaran penduduk yang melalui kawasan berkenaan, satu jalan alternatif akan dibuat sementara menunggu proses membaiki jambatan baharu.
SabahNewsToday