32 pasukan sertai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Labuan

LABUAN: Sebanyak 32 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita akan menyertai Kejohanan antara Regu Sepak Takraw Terbuka Labuan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2024 anjuran Persatuan Sepak Takraw Labuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Presiden Persatuan Sepak Takraw Labuan, Abdul Rashid Adlie berkata, kejohanan yang turut mendapat kerjasama dengan sebuah syarikat logistik Asian Supply Base (ASB) Sdn. Bhd akan diadakan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan.

Katanya, antara pasukan yang telahpun mengesahkan untuk menyertai kejohanan tiga hari itu ialah Sabah, Sarawak, Perlis, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta Brunei Darussalam yang menjadi peserta jemputan.

Beliau berkata, johan bagi kategori lelaki akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, sebuah piala dan medal, naib johan akan menerima RM2,000 beserta medal dan tempat ketiga/keempat akan menerima RM750 serta medal.

“Sementara itu, bagi kategori wanita johan akan menerima hadiah wang tunai RM1,500, sebuah piala dan medal, naib johan membawa pulan hadiah wang tunai RM1,000 dan tempat ketiga/keempat menerima RM750 beserta medal,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, kejohanan ini adalah bertujuan untuk mengumpul semula komuniti sepak takraw khususnya di Labuan dan ia sekaligus bertujuan untuk menghidupkan semula penganjuran sukan sepak takraw terbuka Labuan yang kali terakhir diadakan pada tahun 2017.