KOTA KINABALU: Sabah FC mampu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak sekali gus kembali menjadi pasukan digeruni serta dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah diseluruh rantau ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata Sabah pernah menjadi antara pasukan bola sepak elit negara melahirkan bintang seperti Datuk James Wong, Datuk Hasan Sani, Matlan Marjan serta Peter Rajah.
Katanya usaha perlu dipergiatkan untuk mencungkil bakat muda bola sepak serta menggalakkan lebih ramai belia di Sabah menceburi sukan itu bagi mencapai hasrat tersebut
“Saya percaya dengan komitmen dan kerja keras, Sabah FC akan dapat bangkit sekali lagi. Teruskan dengan formula yang betul dan taraf bola sepak kita akan melonjak ke tahap yang baharu.
“Untuk menjadi pemain yang baik, seseorang itu mesti bermula dari usia muda. Saya mahu melihat penekanan diberikan kepada pembangunan belia dalam sukan, khususnya bola sepak,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri ingin melihat usaha ke arah melahirkan pemain pelapis kepada Sabah FC iaitu mesti bermula daripada usia muda dengan memberi penekanan diberikan kepada pembangunan belia dalam sukan, khususnya bola sepak.
“Sabah FC berada dalam kedudukan terbaik untuk menyediakan platform ini dan memastikan pemain muda kita dilatih oleh jurulatih terbaik,” katanya.
Mengulas mengenai senarai pemain Sabah FC Hajiji berkata Sabah FC di bawah kendalian ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee akan menampilkan pemain import asing dari Brazil, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia dalam kempen mereka pada musim ini.
Antaranya, termasuk empat pemain kebangsaan – Khairul Fahmi, Dominic Tan, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Baddrol Bakhtiar – serta tiga bekas pemain Harimau Malaya, Amri Yahyah, Irfan Fazail dan Nazirul Naim Che Hashim.
Hajiji menggesa mereka supaya sentiasa mengekalkan komitmen dan profesionalisme yang tinggi sepanjang bersama pasukan ini.
“Anda mesti mempunyai disiplin yang baik, sentiasa melindungi reputasi pasukan dengan tahap profesionalisme yang tinggi.
“Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja akan menjadi contoh kepada pemain yang lebih muda dan akan datang tetapi meletakkan anda pada kedudukan yang lebih baik (dalam kerjaya anda), ” katanya.