Piala AFC : Sabah FC tumbangkan Haiphong FC di Stadium Likas 4-1

KOTA KINABALU : Misi Sabah FC untuk menang terhadap Haiphong FC selepas tewas perlawanan pertama tercapai selepas menewaskan pasukan itu 4-1 pada saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) di Stadium Likas, malam ini.

Kemenangan ini juga membolehkan Sabah FC menerajui Kumpulan H dengan mengumpul sembilan mata menerusi tiga kemenangan.

Sabah FC bermula garang dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-20 menerusi Daniel Ting.

Dengan permainan banyak dikuasai oleh Sabah FC, gol kedua hadir menerusi jaringan Darren Lok pada minit ke-34 menerusi tandukan menewaskan penjaga gol Haiphong FC Van Toan.

Ia menerusi hantaran tendangan percuma dari Saddil Ramdani.

Gol ketiga menerusi tandukan Gabriel Perez pada minit ke-70 juga menerusi hantaran dari Saddil Ramdani.

Haiphong FC cuba bangkit kemudian memperolehi gol tunggal pada minit ke-84 menerusi Yuri Souza.

Sabah FC menambah gol keempat menerusi Jafri Chew pada minit ke-94 selepas menerima hantaran daripada Ramon Machado.

Perlawanan seterusnya Sabah FC akan bertandang ke Singapura untuk berhadapan dengan Hougang United FC pada 30 November ini.