Piala FA: Sabah kembali temui rentak kemenangan tewaskan Kelantan United FC

KOTA KINABALU: Sabah FC layak ke suku akhir saingan Piala FA selepas menundukkan Kelantan United FC 2-0 di Stadium Likas, malam ini.

Sabah FC tidak menunggu lama membuat jaringan menerusi kaptennya Baddrol Bakhtiar pada minit ke-17.

Sabah FC yang menguasai permainan membuat beberapa percubaan menerusi Darren Lok namun gagal menambah jaringan pada separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Sabah FC memperkemaskan permainan termasuk membawa masuk Stuart Wilkin dan Jailton Da Silva.

Ia berjaya menghasilkan gol kedua Sabah FC menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-59 selepas menerima hantaran cantik daripada Kwang Min Ko.

Perlawanan Sabah FC selepas ini sekali lagi menentang Kelantan United FC di Stadium Likas pada Rabu ini bagi saingan Liga Super.