KOTA KINABALU : Sabah FC kekal menamatkan musim saingan Liga Super ditangga ketiga selepas tewas 0-1 kepada Perak FC di Stadium Likas malam ini.
Gol Perak FC hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Rawilson Batuil pada minit ke-29 apabila tertolak hantaran Farris Izdiham ke dalam gawangnya sendiri.
Tuan rumah baharu memperoleh semula khidmat Park Tae-soo dan Jafri Firdaus Chew selepas kedua-dua mereka menjalani penggantungan perlawanan.
Minit ke-42 pemain Sabah FC Dinesh Rajasingam dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain Perak FC Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil.
Keputusan separuh masa pertama kekal meskipun menyaksikan pemain Sabah FC menerusi Darren Lok, Miguel Cifuentes dan Jafri berusaha untuk memperoleh jaringan penyamaan.
Bersambung selepas rehat, pengendali Sabah FC Martin Stano bertindak memasukkan Harith Naim Jaineh untuk menambah ketajaman serangan Sabah.
Percaturan itu hampir membuahkan hasil seminit selepas separuh masa kedua bermula apabila Jafri hampir menyamakan kedudukan buat Sabah tetapi rembatan lencongnya tersasar.
Sabah bernasib baik tidak dibolosi buat kali kedua pada minit ke-72. Hantaran lintang Syahmi Shamsudin disekat Hanafie Tokyo sebelum sampai ke kaki Farris Izdiham.
Sabah FC berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Perak FC menamatkan musim di tempat ketujuh dengan 30 mata.