
Oleh: Zakaria Damit
KOTA KINABALU: Pengurusan Sabah FC mengeluarkan amaran keras kepada Ketua Jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan prestasi hambar dalam saingan awal Liga Super Malaysia 2021.
Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, pihak pengurusan sangat kecewa atas tiga kekalahan berturut-turut yang dialami pasukan pada tiga perlawanan terakhir mereka.
Katanya, Sabah FC akan mengkaji semula prestasi pasukan dalam tiga perlawanan akan datang sekaligus memberi peluang kepada Kurniawan memperbaiki prestasi pasukan.
“Ini termasuk menilai semula dan mendapatkan input berkaitan prestasi pasukan di bawah bimbingannya selepas menerima kehadiran lima pemain import yang sudah beraksi bagi memperkuatkan barisan Sabah FC.
“Pihak pengurusan akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat untuk menilai semula tahap prestasi kejurulatihan sebelum mengambil sebarang keputusan demi kebaikan serta kepentingan dalam Sabah FC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Marzuki meminta agar semua pihak tidak panik serta memberi jaminan pihak pengurusan akan terus komited serta yakin Kurniawan Dwi Yulianto bersama anak-anak buahnya akan berada pada prestasi sebenar mereka nanti.
“Semua pemain Sabah FC yang majoritinya anak tempatan akan dapat mengembalikan prestasi serta maruah pasukan Sabah FC ke tahap yang lebih baik untuk kekal bersaing dalam Liga Super Malaysia. Anda perlu yakin dengan Sabah FC,” katanya.
SabahNewsToday