UMS – SRU jalin kerjasama Perubatan Sukan dan Sains Sukan

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah menandatangani surat niat (LoI) dengan Sabah Rugby Union (SRU) bagi mengukuhkan kerjasama dalam Program Sains Sukan UMS.

UMS yang diwakili oleh Dekan FPP, UMS Prof. Dr. Murnizam Halik menandatangani LoI tersebut bersama Timbalan Presiden SRU, Nelson W. Angang bertempat di fakulti itu, baru-baru ini.

Menurut Murnizam, kerjasama itu kolaborasi sulung antara UMS dan SRU dalam bentuk khidmat kepakaran pensyarah sains sukan serta kebenaran penggunaan fasiliti di fakulti tersebut terutamanya bagi pengujian prestasi, program pencegahan dan pemulihan kecederaan atlet.

“Selain itu LoI yang ditandatangani ini juga mencakup kepada kerjasama berkaitan aktiviti, penyelidikan dan projek berkaitan sains sukan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

“Di samping itu, LoI ini turut menumpukan pada usaha mewujudkan persefahaman hubungan antara pihak universiti dan industri, menyediakan ruang latihan industri kepada pelajar sains sukan, dan kerjasama dalam bidang berpotensi yang dipersetujui dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, menurut Nelson pihaknya menyambut baik kerjasama tersebut dan menyampaikan penghargaan kepada FPP atas kepercayaan yang diberikan.

“Kami telah melihat fasiliti yang terdapat di FPP, kami yakin dan percaya bahawa dengan kolaborasi ini akan memberikan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” ujarnya.

Manakala Pengarah Perubatan SRU, Dr. Kiran Kandiah berkata agenda pertama dalam kolaborasi ini akan melibatkan ujian pra-kejohanan untuk pemain ragbi 7s negeri Sabah.

“Ujian tersebut termasuklah ujian kekuatan otot menggunakan mesin Isokinetik, kecergasan aerobik (VO2max), kecergasan anaerobic (Wingate), pengukuran komposisi tubuh (BIA) dan beberapa ujian kemahiran lain.

“Data yang diperolehi daripada ujian ini akan digunakan untuk mengenalpasti pemain yang lemah dan menyusun program khas untuk mereka. Ini akan membantu mengurangkan risiko kecederaan dan pada masa yang sama meningkatkan prestasi mereka,” katanya.