KOTA KINABALU: Lapan atlet karate remaja daripada Persatuan Karate Sabah (SKA) Penampang bakal bersaing dalam Kejohanan Antarabangsa Terbuka Dasril Muchtar Kali-2 dan Festival Committee di Bandung, Indonesia bermula 24 hingga 26 Mei ini.
Kontinjen SKA Penampang kali ini diwakili Calvarez Aiden, Jeffisten Jeffrin, serta Zac Adler Marius bagi kategori 12 dan 13 tahun iaitu bagi acara individu kata, individu kumite serta kata perpasukan.
Zanna Mae Marius, Zoo Moniesha Masrius, Sierra Dyanne Lorimer serta Daniel Henry Saimpon pula bakal bersaing bagi kategori 10 dan 11 tahun, juga bagi acara kata individu, kumite individu serta kata perpasukan.
Sementara itu bagi kategori 8 dan 9 tahun pula, Calantha Caniera bakal beraksi untuk acara kumite individu dan kata individu.
Kontinjen SKA Penampang itu diketuai jurulatih, Sensei Grace Tiwon.