KOTA KINABALU : Pasukan TABS B15 memperoleh pengalaman yang berguna melalui Malaysia Borneo Football Cup 2024 yang sedang berlangsung di sini ketika ini.
Pasukan itu menumpaskan pasukan AIA Australia 4-1 dan mengikat satu lagi pasukan dari Australia, AAF dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan kategori bawah umur 15 tahun, kelmarin.
Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pagi ini, TABS juga berkongsi mata dengan pasukan tempatan, Jubilo Football Academy apabila seri 3-3.
Mereka akan meneruskan perlawanan ke pusingan seterusnya petang ini.
Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata pemain-pemain pasukannya menerima pendedahan yang baik dalam kejohanan ini terutama apabila menghadapi pasukan-pasukan dari luar.
Menurut beliau, pihaknya mengharapkan pemain-pemain dapat menimba pengalaman melalui kejohanan ini bagi membolehkan mereka meningkatkan kualiti permainan mereka.
“Ini peluang bagi pemain-pemain kita memperbaiki corak permainan selain sentiasa mematuhi arahan jurulatih ketika mereka beraksi di padang,” katanya ketika ditemui di sini.
Lokman berkata, meskipun pemain-pemain yang menganggotai pasukan merupakan pelatih program pembangunan yang dijalankan tetapi mereka telah memperlihatkan kesungguhan dan kemampuan masing-masing ketika berhadapan pasukan dari luar.
“Kita mahu mereka terus menjalani latihan supaya pasukan yang dibentuk akan memberi impak pada masa akan datang,” tegasnya.
Beliau yang juga Pengurus pasukan TABS B16 menambah, TABS disenaraikan dalam Kumpulan B kategori umur tersebut bersama Indonesia Muda, St George City dari Australia dan MSA Academy.
Katanya, TABS akan memulakan perlawanan mereka di padang sintetik Kompleks Sukan Likas pagi esok.
“Kita berharap pasukan TABS juga menunjukkan prestasi yang baik dalam kategori ini,” ujarnya.
