Sabah FC tekad kekal momentum kemenangan berdepan KL City

Kurniawan Dwi Yulianto (Gambar fail)

KOTA KINABALU (Bernama): Sabah FC bertekad meneruskan momentum kemenangan, sekali gus meraih tiga mata penuh apabila turun menentang Kuala Lumpur City FC dalam saingan Liga Super, malam ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto berkata kemenangan pertama pasukannya ketika menentang Terengganu FC sebelum ini, menyuntik semangat anak buahnya apabila berdepan pasukan ibu kota itu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.

Katany, untuk mengekalkan momentum kemenangan itu, beliau mengingatkan setiap pemain supaya tidak membezakan pasukan sama ada kuat atau lemah dan meneruskan corak permainan yang ditampilkan sebelum ini.

“Semua perlawanan adalah penting buat Sabah FC kerana ketika ini Sabah FC hanya mengutip empat mata iaitu ketika seri 1-1 menentang Melaka United FC (6 Mac) dan menewaskan Terengganu FC 2-1 (21 Mac) di Stadium Likas.

“Kita sudah bersiap sedia dan berharap semua yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik semasa perlawanan sebenar malam ini.

“Walaupun ada beberapa pemain dibelenggu kecederaan, skuad The Rhinos sudahpun bersedia dengan perancangan tersendiri untuk menghadapi perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sabah FC kini menghuni tangga ke-10 Liga Super dengan empat mata selepas tewas 1-2 kepada Sri Pahang FC; 0-2 kepada Kedah Darul Aman FC; dan 0-1 kepada Petaling Jaya City FC; selain seri 1-1 pada perlawanan pembukaan menentang Melaka United FC, sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC.

SabahNewsToday

Leave a Reply