KOTA MARUDU : Pasukan TKFC mewakili daerah Kota Marudu muncul sebagai juara kejohanan Bola Sepak Kelab Sungoi Laut (KBSKSL) pada 11 dan 12 Mei lalu.
TKFC membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 berserta piala manakala Talawa A FC mewakili daerah Kota Belud meraih tempat kedua RM1,000.

Tempat ketiga Soronsob United mewakili Kota Marudu menerima hadiah wang tunai RM700 serta
pasukan Talawa B FC di tempat keempat menerima hadiah RM400.
Sementara itu, Pengurus Kejohanan Mike Angelo Salim berkata, kejohanan ini selaras dengan usaha membangunkan pemain bermula peringkat awal khususnya kepasa pasukan Bawah 12 Tahun.

“Kita menerima sambutan sangat menggalakan iaitu seramai 16 pasukan mewakili daerah Kota Marudu, Kota Belud serta kawasan berhampiran.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak, malah menjadi platform penting dalam memupuk semangat kesukanan,” katanya.
Mike Angelo berkata, ini sekali gus meningkatkan disiplin serta perpaduan dalam kalangan generasi pelapis khususnya di peringkat akar umbi.

“Kita ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya penaja kejohanan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Bandau, Datuk Maijol Mahap serta Syarikat Crown Bakery Sdn Bhd.
“Atas sambutan menggalakan, kita merancang lagi penganjuran lejohanan ini pada masa depan,” jelas Mike Angelo.

Menurutnya, kejohanan ini jelas membuktikan bahawa sukan mampu menjadi penggerak perpaduan serta menyatukan komuniti setempat.