LABUAN : Hampir 10,000 warga Labuan mewarnai sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2024 berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, di sini semalam.
Pelbagai acara menarik diadakan termasuk Larian Madani sejauh lima kilometer, kayuhan santai Madani sejauh 30 kilometer, acara Berjalan Ria Madani sejauh lima kilometer serta Senamrobik Perdana.
Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Mahanum Fauzi berkata, sebanyak 30 acara sukan disusun untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan melahirkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, beberapa sukan lain turut diadakan antaranya pertandingan Rugbi, Boling Padang, Bola Sepak Wanita dan Dodgeball.
Sementara itu, seramai 12 atlet Labuan yang berjaya membawa pulang pingat pada Sukma dan pra Sukma Labuan turut diraikan pada majlis tersebut.
Program bermula seawal jam 6.30 pagi dirasmikan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
