ISKANDAR PUTERI (Johor): Rekod tanpa kalah Sabah FC pada saingan Liga Super 2023 lebur selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
JDT membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi Arif Aiman selepas pengadil Muhammad Nazmi membenarkan jaringan tersebut biarpun pemain Sabah FC menentang jaringan selepas mendakwa Arif Aiman menjatuhkan Muhammad Irfan Zakaria.
Sembilan minit kemudian, JDT memperolehi jaringan kedua menerusi Juan Muniz yang menjaringkan gol dari luar petak penalti Sabah FC.
Bersambung separuh masa kedua, Sabah FC Cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan namun gagal menembusi pertahanan JDT yang diketuai Jordi Amat.
Sebaliknya JDT menambah jaringan ketiga pada minit ke-81 menerusi Muhammad Syahmi Safari dan gol keempat menerusi Fernando Martin Forestieri.
Sabah FC kekal di kedudukan kedua dengan 13 mata dibezakan dengan jaringan Selangor FC.
Aksi Sabah FC seterusnya pada saingan Liga Super 2023 adalah pada 5 April ini menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Cheras.