Sabah FC benam UITM FC di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC mencatat kemenangan bergaya di halaman sendiri selepas membelasah UiTM FC 4 – 0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan kedua itu membolehkan skuad Badak mengumpul sembilan mata setakat ini selepas memenangi dua perlawanan termasuk pada malam ini dan seri dalam tiga perlawanan sebelumnya.

Gol pertama Sabah FC terhasil pada minit ke-27 hasil penyudah pemain importnya, Sam Johnson yang memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol lawan selepas bola yang cuba ditangkap penjaga gol UiTM FC gagal disambut kemas.

Sabah FC raih jaringan

Sang Badak kemudian menambah satu lagi gol pada minit ke-40 menerusi sentuhan pemain import Indonesia, Saddil Ramdani selepas memanfaatkan hantaran Sam Johnson dari luar kotak penalti.

Bersambung di babak kedua permainan, Sabah FC tidak memberi peluang kepada UiTM FC untuk mencipta gol penyamaan, sebaliknya terus melakukan serangan demi serangan dalam usaha untuk menambah gol.

Sabah FC terus mengukuhkan kedudukan selepas gol ketiga berjaya diperoleh pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu pada minit ke-49.

Sadil Ramdani penjaring gol kedua

Satu lagi gol berjaya disumbat pemain Sabah FC hasil kecekapan Bobby Gonzales yang memanfaatkan lontaran bola rakannya di kawasan kotak penalti UiTM FC pada minit ke-86, bagi membolehkan tuan rumah menang 4-0.

SabahNewsToday

Leave a Reply