SAFA menafikan berunding menerima tawaran penjualan sah Sabah FC

KOTA KINABALU : Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA)mengesahkan  tidak pernah berunding dengan mana-mana pihak yang mendakwa menerima tawaran penjualan saham Sabah FC.

Presidennya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, SAFA tidak pernah bertemu individu atau dengan mana-mana wakil bagi pihak yang mendakwa mendapat tawaran penjualan saham Sabah FC.

Katanya, ini termasuk memaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkaitan penjualan saham Sabah FC.

“Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan pendirian SAFA dan Sabah FC bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham berkaitan dakwaan tersebut.

“Sekali lagi saya tegaskan di sini, SAFA tidak pernah bertemu individu atau dengan mana-mana wakil bagi pihak yang mendakwa mendapat tawaran penjualan saham Sabah FC,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahelmey mengulas mengenai kenyataan dalam laman Facebook DSAT ‘ditawarkan’ mengambil alih Sabah FC.

DSAT dalam laman tersebut mengucapkan terima kasih kepada Presiden SAFA, merangkap Timbalan Ketua Menteri selepas bersetuju menawarkan Sabah FC sekali gus kononnya mengesahkan tawaran sudah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah.