Tenang FC, BSC FC berentap di perlawanan akhir Keningau Premier League 1 2024/2025

KENINGAU : Tenang FC serta BSC FC melangkah ke perlawanan akhir kejohanan ‘Keningau Premier League Satu Musim 2024/2025 dijangka diadakan di Kompleks Sukan Keningau.

Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Keningau (Keningau FA), Rafie Robert berkata, bagaimanapun tarikh perlawanan akhir nanti akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pada perlawanan peringkat separuh akhir  pertama pasukan Tenang FC menewaskan MDK FC dengan jaringan 4-2.

“Gol Tenang FC dijaringkan pada minit ke-32 melalui pemainnya Mohd Shariman Mukarim serta bekas pemain Sabah Leopold Alfonso Otong pada minit ke-41, separuh masa pertama.

“Dua jaringan lagi dihasilkan oleh pemain Tenang FC menerusi Arius Dius Jais pada minit ke 57 dan 64 pada separuh masa kedua.

“MDK FC berjaya menjaringkan gol pada minit ke-45 separuh masa pertama melalui Zackkalani Antanom serta sepakan penaliti pada minit ke-69,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafie merupakan Naib Presiden Empat Persatuan Bola sepak Negeri Sabah (SAFA) berkata, pada perlawanan Perlawanan separuh akhir kedua pasukan BSC FC terikat 2-2 menentang Inter United FC.

“Perlawanan ini berlarutan sehingga ke sepakan penaliti berkesudahan dengan jaringan 5-4 dimenangi BSC FC.

“Gol BSC FC penyamaan dijaringkan melalui pemainnya, Eldiejay Jerry pada minit ke-33 dan Keneddy Pius, minit ke-61,” jelas Raffie.

Menurutnya, dua gol Inter United FC dijaringkan menerusi pemainnya Justin Samaan serta Mohammad Hazwan Tamin masing-masing pada minit ke-16 dan 82.

“Perlawanan seterusnya bagi Keningau Premier League 2 Shap Cup pada 2 Febuari ini, pasukan JJ FC akan menentang Nabawan FA jam 3.00 petang juga akan berlangsung di Kompleks Sukan Keningau.

“Sebanyak 30 pasukan beraksi pada kejohanan bola sepak Keningau Premier League (KPL) edisi 2024-2025 bermula pada 9 November tahun lalu,” kata Rafie.

Beliau berkata, kesemua pasukan menyertai kejohanan ini merupakan dari sekitar Keningau, Tenom, Pagalungan, Nabawan, Beaufort dan Kota Kinabalu.

“Kejohanan ini dijangka berakhir pada bulan Februari 2025. Saya mengharapkan ada pasukan dari premier league ini dapat menyertai kejohanan yang lebih tinggi lagi di peringkat kebangsaan ataupun Asia selepas ini.

“Kejohanan ini merupakan kesinambungan Keningau CUP FA 2015 dan dijenamakan kepada KPL dengan dibahagi kepada dua liga utama,” tambahnya.