Liga Super: Sabah FC peroleh kemenangan pertama tewaskan PJ City FC

KOTA KINABALU: Sabah FC mencatatkan kemenangan pertama pada saingan Liga Super Malaysia 2022 selepas menewaskan PJ City FC 3-1 di Stadium Likas Kota Kinabalu, malam ini.

Gol pertama Sabah FC dijaringkan pemain pertahanan Jackson De Souza pada minit ke-16 hasil sepakan percuma Ketua Pasukan Sabah FC Baddrol Bakhtiar.

Neto Pessoa menjaringkan gol kedua pada minit ke-35 hasil sepakan penjuru dari Baddrol Bakhtiar.

Gol PJ City FC dijaringkan Kumaaharan Sathasivam pada minit ke-45.

Memasuki separuh masa kedua, Sabah FC tidak menunggu lama untuk menambah jaringan ketiga apabila Saddil Ramdani menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke 47 selepas Taiki Kagayama dijatuhkan di luar petak penalti.

Perlawanan seterusnya Sabah FC pada Liga Super Malaysia ini menentang Melaka United pada 5 April di Stadium Hang Jebat, Melaka.