Fokus tiga mata menentang JDT malam esok

KOTA KINABALU: Tiga tonggak Sabah FC yakin mampu meraih tiga mata penting menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) sekiranya semua pemain komited dalam pertemuan malam esok di Stadium Likas.

Hamran Peter, bermain di bahagian tengah berkata, kehadiran Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee dilihat memberi semangat baharu kepada pasukan agar bermain pada prestasi cemerlang dalam mengharungi saingan Piala Malaysia 2021.

“Kita lebih berkeyakinan daripada sebelum ini. Kehadiran Datuk Ong mungkin bukan saya sendiri sahaja malah semua pemain yakin dengan perubahan besar yang dilakukannya,” katanya.

Sementara itu pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu menyifatkan corak latihan yang diterapkan Kim Swee sangat berkualiti serta berintensiti tinggi sekali gus berjalan dalam suasana yang sangat baik.

Bagi pemain pertahanan muda Sabah FC, Abd Hanafie Tokyo Abd Hasim menyifatkan kehadiran Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee adalah penyelamat kepada pasukan Sabah FC.

“Sebagai pemain, saya nampak semua pemain banyak menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam latihan. Ini yang kita mahukan sebagai pemain. Lagi pun corak latihan pun bagus berintensiti tinggi dan ok la bagi saya.

“Kalau saya diturunkan saya buat yang terbaik Sabah sudah buat training yang bagus mungkin inshAllah tiga point inshAllah,” katanya.