KOTA KINABALU : TABS SAFA Bandaraya akan memastikan pasukan terbaiknya beraksi dalam Kejohanan Piala Borneo di sini yang dijadualkan pada September ini.
Berikutan itu, pemilihan akan dilakukan bagi setiap pasukan mengikut kategori umur dari 11 tahun hingga 16 tahun.
Naib Pengerusinya, S.A Ramlye berkata, pemilihan sudah pun bermula Ahad lepas yang membabitkan pemain-pemain B11 dan akan disusuli dengan saringan terakhir dalam masa terdekat.
Katanya, panel pemilihan diketuai ketua jurulatih, Ismail Tudiki, jurulatih Hassan Madisah, Malim Surat, Suryadi Sarman, Azanuddin Kamaruddin, Asmady Mady, Ahmad Ibrahim dan Asroff.
“TABS masih belum lagi memuktamadkan senarai 20 pemain kategori umur tersebut menganggotai pasukan dan ia akan dilakukan selepas membuat saringan terakhir nanti.
“Pemilihan bagi kategori umur lain seperti B12, B13, B14, B15 dan B16 akan dilakukan pada minggu akan datang sebaik jurulatih terlibat sudah mengatur jadual masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, melalui pemilihan berkenaan akan dapat mengenal pasti pemain yang benar-benar berbakat untuk menganggotai setiap pasukan yang akan bertanding dalam kejohanan itu.
Ramlye memberitahu, memandangkan Piala Borneo membabitkan penyertaan pasukan-pasukan dari luar negara, persediaan lebih rapi perlu dilakukan bagi membolehkan pasukan mampu bersaing dengan pasukan lawan.
“Pemilihan itu membabitkan pelatih TABS yang sedia ada di samping pelatih-pelatih baharu yang mendaftarkan diri tetapi menunjukkan corak permainan yang baik,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kehadiran pelatih-pelatih baharu dan mereka akan terlibat dalam sesi pemilihan pasukan yang akan dijalankan.
“Setakat ini lima kategori umur iaitu B12, B13, B14, B15 dan B16 dijangka mengadakan pemilihan untuk pembentukan pasukan ke Piala Borneo dalam masa terdekat,
“Manakala pelatih-pelatih baharu B11 turut berpeluang untuk beraksi dalam Liga Suparimau selain menganggotai pasukan Piala Borneo,” katanya.
Mereka yang ingin menyertai sesi latihan Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi TABS setiap hujung minggu boleh mendaftarkan diri secara “walk in” dengan Urusetia TABS di padang TABS Sukma pada setiap Sabtu dan Ahad dari jam 7.00 hingga 10.00 pagi.