3,328 atlet sertai pusingan kelayakan berpasukan SAGA di enam zon Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 3,328 atlet telah menyertai Pusingan Kelayakan Berpasukan Sukan Sabah (SAGA) 2023 yang berlangsung di enam zon seluruh negeri Sabah berakhir Jumaat lalu.

Jumlah penyertaan itu termasuk 643 peserta di Zon Pantai Barat Selatan, 496 peserta di Zon Sandakan, 777 peserta di Zon Tawau, 626 peserta di Zon Pantai Barat Utara, 506 peserta di Zon Pedalaman Atas dan 280 peserta di Zon Pedalaman Bawah.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan ditemui semasa meninjau sesi pertandingan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas, semalam, berkata pihak kementerian berpuas hati dengan persiapan dan penganjuran Pusingan Kelayakan kali ini yang berlangsung selama lima hari bermula 28 Ogos lalu.

Katanya pusingan kelayakan kali ini melibatkan enam jenis sukan berpasukan iaitu bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, hoki dan juga sepak takraw.

Menurutnya pasukan-pasukan yang layak akan bertanding di temasya sebenar SAGA X Kota Kinabalu 2023 pada 16-22 Disember depan.

“Bagi pihak kementerian, saya berharap pasukan-pasukan yang layak akan meneruskan latihan dan menggandakan kekuatan kerana di SAGA sebenar nanti, pertandingan yang bakal diharungi pastinya jauh lebih sengit umpama ‘bertemu buku dengan ruas’.

“Apa yang lebih penting, melalui SAGA ini kita dapat mengenalpasti lebih ramai bakat atau potensi juara yang akan mewakili Sabah bertanding di peringat lebih tinggi lagi khususnya di Sukan Malaysia atau SUKMA,” katanya.

Beliau berkata penganjuran SAGA menepati keperluan pembangunan sukan negeri ini.

Walaupun kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah kewangan yang agak besar, tetapi hasilnya amat berbaloi dengan kemunculan ramai atlet-atlet ternama seperti Rayzam Shah Wan Sofian, Andre Anura Anuar, Mohd Eizlan Dahalan dan ramai lagi, tambah beliau.