KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) tidak lagi mengendalikan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia termasuk pasukan bawah umur 20 dan bawah 18 tahun ketika ini.
Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat berkata, kesemua empat pasukan termasuk skuad senior dan bawah 23 tahun selain bawah 20 dan bawah 18 tahun dikendalikan kelab profesional, Sabah FC.
Katanya, SAFA kini hanya menjalankan program pembangunan bola sepak yang melibatkan kanak-kanak dan remaja di samping menganjurkan kejohanan bola sepak yang ada dalam kalender SAFA.
“Semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia adalah di bawah kendalian Sabah FC dan bukan lagi di bawah SAFA seperti pada masa lalu,” katanya sebagai mengulas keluhan bekas pemain kebangsaan, Razali Zinin berhubung kekalahan berterusan yang dialami pasukan B20 dan B18 di media sosial.
Razali berpendapat, orang yang pandai perlu diperbanyakkan di dalam SAFA kerana ia memalukan apa yang telah diajar oleh jurulatih tersebut kepada budak-budak itu.