Sabah FC tekad bangkit di Pulau Pinang

KOTA KINABALU: Sabah FC bertekad untuk bangkit daripada kekalahan menentang Selangor FC minggu lalu apabila bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Ahad ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee menetapkan sasaran untuk tidak kehilangan mata penting dalam perlawanan itu nanti.

Beliau bagaimanapun mengakui ia bukan satu perlawanan mudah kerana Penang FC memiliki kekuatan tersendiri selain pemain import dan tempatan yang berkualiti tinggi.

Katanya, pemain Sabah FC perlu kekal fokus sepanjang perlawanan bagi memastikan Sang Badak dapat memungut mata penting untuk pasukan.

“Kita harus bangkit dengan mencapai keputusan positif daripada kekalahan ketika berdepan Selangor minggu lalu.

“Sabah FC perlu berada di landasan terbaik jika ingin mengekalkan rentak untuk merebut slot tiga tempat teratas Liga Super.

“Hanya berbaki beberapa perlawanan lagi sebelum berakhirnya musim Liga Super 2023,” kata Kim Swee.

Menurut Kim Swee, beberapa tonggak Sabah FC mengutip kecederaan ketika perlawanan menentang Selangor pada 23 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya situasi itu tidak membimbangkan kerana Sabah FC mempunyai pemain lain untuk mengisi kekosongan.

“Kita tidak perlu risau kerana masih terdapat pemain lain yang mampu menggalas tugas serta mengisi slot mereka yang mengalami kecederaan dan juga penggantungan,” katanya.

Sabah FC yang kini berada di tangga kelima carta Liga Super dengan kutipan 33 mata, tewas 1-0 di tangan Selangor FC pada pertemuan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Ahad lalu.