Kampung Budaya Pasir Putih Tawau peroleh kemudahan disalurkan kerajaan – Suryady

TAWAU : Penduduk Kampung Budaya Pasir Putih, Tawau dipastikan tidak akan ketinggalan menerima semua pembangunan infrastruktur disediakan kerajaan di peringkat negeri serta Persekutuan.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa kampung ini akan mendapat kemudahan infrastruktur yang sebaiknya seperti di tempat lain.

Katanya, kerajaan akan memastikan semua penduduk di negeri ini mendapat manfaat inisiatif disediakan sama ada melalui peruntukan kerajaan.

Suryady bersama penduduk kampung menaiki motosikal dalam program hari ini.

“Kampung Budaya Pasir Putih antara kawasan mempunyai bilangan penduduk tempatan teramai dan sudah pasti ia akan diberikan keutamaan oleh kerajaan khususnya dari segi infrastrukturnya.

“Setakat ini, kita sudah banyak menyediakan kemudahan untuk dinikmati oleh penduduk di sini dan ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.

Program dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kalabakan bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Batu serta JKKK Kampung Mukim Pasir Putih.

Suryady merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu berkata, program ini merupakan satu usaha memberi peluang penduduk kampung mendapatkan maklumat langsung daripada agensi kerajaan tanpa perlu datang ke pejabat.

“Semua agensi terlibat dapat turun padang dan berjumpa dengan pelanggan di kampung untuk berkongsi maklumat perkhidmatan mereka.

“Kemungkinan ada penduduk susah untuk datang ke pejabat kerajaan disebabkan pelbagai kekangan seperti masalah kesihatan, masa ataupun pengangkutan,” jelas Suryady.

Menurutnya, sambutan program ini dilihat sangat menggalakkan daripada penduduk kampung dan ia harus diteruskan di kawasan lain.

Suryady menyampaikan sumbangan kepada agensi yang terlibat dalam program hari ini.

“Saya bercadang akan meneruskan program ini di kawasan-kawasan pedalaman supaya lebih ramai lagi penduduk yang mendapat manfaat daripada inisiatif agensi kerajaan.

“Kita mahu semua penduduk di peringkat Parlimen Kalabakan ini mendapat maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan secara langsung dan tepat,” kata Suryady.