SAGA Kota Kinabalu atasi Bravo FC 7-1 dalam perlawanan persahabatan

KOTA KINABALU : Pasukan SAGA Kota Kinabalu mengatasi Bravo FC 7-1 dalam perlawanan bola sepak persahabatan di padang Penjara di sini, kelmarin.

SAGA Kota Kinabalu yang memulakan aksi dengan positif menjaringkan enam gol pada babak separuh masa pertama.

Bravo FC menghasilkan gol tunggal pada separuh masa kedua sebelum SAGA Kota Kinabalu menambah satu jaringan lagi untuk mengukuhkan kedudukan.

Jurulatih pasukan Roslan Wasli berkata, perlawanan itu bagi menguji kombinasi dan persefahaman pemain-pemain bagi persiapan menghadapi acara bola sepak Sukan Sabah di Kota Kinabalu pada 16-22 Disember ini.

Katanya, para pemain menunjukkan aksi yang positif sepanjang perlawanan itu dan mereka akan terus menjalani selepas ini selain akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan lagi.

“Pasukan merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan seterusnya dijadualkan pada Sabtu ini,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Lokman Sunggim berharap pemain-pemain terus mempertingkatkan keserasian dalam pasukan di samping meneruskan momentum permainan yang positif.

Menurut beliau, pihaknya yakin pasukan mampu memberi saingan kuat terhadap pasukan lawan untuk mencapai sasaran mereka untuk memenangi pingat dalam acara bola sepak.

Katanya, pemain-pemain juga harus berusaha beraksi lebih baik untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bermain di halaman sendiri.

Dalam acara bola sepak lelaki, Kota Kinabalu berada dalam Kumpulan A bersama Tuaran, Telupid dan Penampang.

Manakala Kumpulan B terdiri dari pasukan Tawau, Kota Belud, Tenom dan Membakut.