KOTA KINABALU: Dua pasukan TABS Sabah FC B16 dan B14 masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan Liga Suparimau 2024 di venue berasingan hari ini.
TABS Sabah FC B16 menewaskan pasukan Pengalat FC 3-0 di padang A Kompleks Sukan Likas di sini manakala TABS Sabah FC B14 menang bergaya 6-1 ke atas KIS Vipers di padang sintetik.
TABS Sabah FC B16 mendahului lawan 1-0 di babak separuh masa pertama dan terus mendapatkan dua lagi jaringan pada separuh kedua.
Sebelum itu, TABS Sabah FC B14 menghasilkan tiga gol pada separuh masa pertama sebelum menambah tiga gol di saingan babak masa kedua. KIS Vipers terus berusaha mengurangkan defisit jaringan yang akhirnya membolehkan mereka berjaya memperoleh gol tunggal.
Jurulatih pasukan TABS Sabah FC B16, Rosly Jamal, berkata pihaknya gembira dengan kemenangan itu walaupun beberapa pemain utama tidak dapat diturunkan disebabkan kecederaan dan demam.
Katanya, beliau bersyukur kerana pemain-pemainnya semakin memahami taktikal yang digarap dalam pasukan dan ia banyak membantu prestasi dalam setiap perlawanan yang dihadapi.
“Prestasi pemain semakin baik jika dilihat daripada corak dan persembahan dalam permainan mereka,” katanya ketika ditemui di sini selepas perlawanan.
Dengan kejayaan itu membolehkan pasukan terus mengungguli takhta liga setakat ini.
Rosly berharap pemain-pemain utama akan segera pulih dari kecederaan dan sakit demam bagi memastikan mereka terus mencapai kejayaan selepas ini, sekali gus menjuarai kategori umur B16 dalam liga tersebut.
Sementara itu, dalam perlawanan pada Sabtu, pasukan TABS Mix 9 menumpaskan Mastery Titan 8-1 untuk terus berada di tangga teratas kedudukan kategori umur B10 manakala TABS Junior mengatasi KKFC A 3-1 dalam perlawanan kategori B8.