Sabah FC pertaruhkan pemain muda hadapi baki saingan Piala Malaysia – Kim Swee

KOTA KINABALU: Sabah FC akan mempertaruhkan barisan pemain muda untuk menghadapi baki saingan Piala Malaysia 2021.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, pemain muda perlu bersedia menggalas tugas selaku pemain utama jika diberikan peluang beraksi kelak.

Katanya, ketika ini pemain utama masih mengalami kecederaan ketika perlawanan terdahulu sekali gus posisi mereka diisi pemain muda sebagai kesebelasan utama.

“Mereka (pemain muda) harus bersedia mengambil kesempatan ini untuk menimba ilmu serta pengalaman untuk menghadapi persiapan perlawanan akan datang.

“Secara keseluruhan kita sangat berpuas hati dengan mutu persembahan ditunjukkan pemain muda ketika aksi perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu. Mereka menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Kim Swee berkata, dalam saingan baki perlawanan Piala Malaysia ini nanti sudah tentu tempat kesebelahan utama menjadi rebutan semua pemain.

“Rebut peluang dengan mempamerkan aksi terbaik mereka. Secara keseluruhan  pemain muda yang sedia ada sekarang dalam Sabah FC mempunyai potensi besar menjadi tumpuan pasukan lain termasuk boleh bermain dalam pasukan kebangsaan kelak,” katanya.