BIMP-EAGA Friendship Games 2026 jadi platform perpaduan serantau

KOTA KINABALU: Penganjuran BIMP-EAGA Friendship Games 2026 dilihat sebagai medan memperkukuh perpaduan serantau dan memperkasa pembangunan belia, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, temasya itu bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi turut menjadi ruang untuk memupuk persahabatan dan kerjasama antara negara anggota BIMP-EAGA iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

“Dengan penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai, temasya ini mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan serantau yang amat kita hargai,” katanya.

Menurutnya, atlet bawah 21 tahun akan bertanding dalam sembilan disiplin sukan, termasuk olahraga, renang, badminton, sepak takraw dan e-sukan.

Nizam berkata, kerajaan negeri kekal komited menjadikan pembangunan belia dan sukan sebagai pemacu kemajuan sosial dan pertumbuhan ekonomi.