TABS Perlu Kekalkan Prestasi Baik Dalam Malaysia Borneo Football Cup 2025

KOTA KINABALU : Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Sulaiman Mohd Noor mengingatkan para jurulatihnya agar mengekalkan prestasi baik dalam Malaysia Borneo Footbal Cup 2025 di sini pada September ini.

Katanya, mereka mesti membentuk pasukan yang terbaik supaya momentum tersebut bukan sahaja dapat dipertahankan namun dalam masa sama memiliki keazaman untuk meningkatkan lagi prestasi pasukan ke tahap lebih baik.

Sehubungan itu, tambahnya, ia boleh direalisasikan dengan memilih pemain-pemain yang mempunyai kualiti dan mampu bersaing dengan lawan.

“Perlu diingat penyertaan dalam kejohanan ini membabitkan pasukan-pasukan dari luar negara. Justeru, kita perlu mengemukakan pemain-pemain yang berbakat,” katanya pada mesyuarat persiapan menghadapi kejohanan itu, semalam.

Turut hadir timbalan pengerusi, Lokman Sunggim, naib pengerusi, S.A Ramlye, setiausaha, Amsir Abdullah, ahli jawatankuasa, Amirhad Yunus dan Nurhafiza Badar.

Menurut Sulaiman, prestasi pasukan TABS tahun lalu boleh dianggap memberangsangkan kerana mampu memenangi naib juara bagi kategori umur B15 tahun dan tempat ketiga bagi kategori B16 selain pasukan-pasukan lain turut memberi persaingan.

Beliau menambah, pihak penganjur juga telah memperkenalkan kategori baru iaitu B18 tahun ini di mana TABS akan mengambil bahagian.

“Kita sedang menyediakan pemain untuk kategori umur ini dan berharap kita mampu memberi saingan,” katanya.

Ini bermakna secara keseluruhan TABS akan mengemukakan tujuh kategori iaitu B11, B12, B13, B14, B15, B16 dan B18 dalam kejohanan itu tahun ini.

Pengerusi TABS itu turut mengumumkan pelantikan jurulatih untuk mengendalikan pasukan masing-masing nanti – Rosly Jamal (B18), Hasan Madisah/Rosly (B16), Malim Surat (B15), Ismail Tudiki (B14), Ahmad Ibrahim (B13), Sahrizal Wahimin (B12) dan Hamizam Ismail dan Rayzonaz Malim (B11).

“Ketika ini, jurulatih terbabit sedang menyediakan pasukan termasuk melakukan pemilihan pemain. Kita memberi tempoh sehingga akhir bulan Jun untuk mereka memuktamadkan senarai pemain,” ujarnya.