Amri taruhan utama menentang Kelantan United FC dalam saingan Piala FA di Stadium Likas malam esok – Kim Swee

KOTA KINABALU: Prestasi cemerlang pemain veteran, ‘Mohd Amri Yahyah’ menjadi taruhan utama Sabah FC pada pertemuan menentang Kelantan United FC dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Likas malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata Amri Yahyah bersama pemain lain akan menggalas tugas penting selepas pemain import Neto Pessoa masih belum pulih sepenuhnya sekali gus kemungkinan besar tidak akan diturunkan menjelang pertemuan esok.

Ong Kim Swee

Katanya ketika ini tahap kecergasan pemain Sabah FC berada pada tahap cemerlang dengan fokus kepada perlawanan penting bagi memastikan dapat mencatat kemenangan.

“Kita anggap perlawanan malam esok adalah sangat penting meskipun semua maklum pasukan Kelantan United FC kini bermain dalam Liga Premier namun Sabah FC tidak boleh mengambil mudah.

“Apabila pasukan Liga Premier menentang Sabah FC berstatus Liga Super mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mempamerkan mutu persembahan terbaik.

“Dalam masa sama mereka ingin membuktikan dapat bersaing dengan kelab-kelab berstatus Liga Super di negara ini.

“Kita tidak mahu pemain Sabah FC mengambil mudah…Semua pemain perlu menunjukkan kesungguhan mereka malam esok lebih-lebih lagi apabila bermain di gelanggang dan dihadapan penyokong sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.

Kim Swee berkata Sabah FC juga akan kehilangan khidmat pemain import sensasi Saddil Ramdani berikutan beliau kini bersama-sama pasukan Indonesia dalam kejohanan Sukan Sea yang berlangsung di Hanoi Vietnam.

“Namun begitu kesebelasan utama hanya akan kita ditentukan sebelum sepak mula malam esok. Jangan risau kita masih mempunyai banyak pilihan pemain…..Kita harus memikirkan beberapa faktor serta tujuan untuk kita bermain bagi memastikan Sabah FC dapat melangkah ke peringkat seterusnya,” katanya.

Kim Swee berharap agar sokongan padu penyokong tegar Sabah FC turun beramai-ramai ke Stadium Likas Kota Kinabalu malam esok bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Badak.

“Sabah FC memerlukan sokongan serta sorakkan daripada penyokong pada malam esok.

“Ini kerana perlawanan menentang Kelantan United FC adalah siri kalah mati sekali gus memastikan Sabah FC dapat melangkah ke perlawanan seterusnya kelak,” katanya.