Penstrukturan kejurulatihan TABS beri perhatian pelatih B10 – Ramlye

KOTA KINABALU : Naib Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, S.A Ramlye  menjelaskan penstrukturan kejurulatihan yang dilakukan bagi memastikan pelatih-pelatih Program Pembangunan Bola Sepak TABS akan mendapat latihan dan bimbingan yang baik dan berkualiti di samping membolehkan mereka mengembangkan bakat.

Katanya, TABS akan memberi perhatian pelatih-pelatih bermula dari bawah umur lapan dan 10 tahun dan seterusnya hingga ke umur bawah 17 tahun.

S.A Ramlye

“Penstrukturan kejurulatihan sebagaimana yang kami bincang baru-baru ini tertumpu untuk memperkasakan lagi pelatih-pelatih B10 kerana kolaborasi TABS dengan Sabah FC bermula dari kategori umur ini selain B12, B14, B16 dan B17,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, jurulatih Hamizam Ismail telah diberi peranan untuk melatih kategori umur B10 dan dia akan dibantu jurulatih Amsir Abdullah dan jurulatih akar umbi yang lain.

“Pengerusi TABS, Sulaiman Mohd Noor sendiri mahu supaya bahagian kejurulatihan meneruskan momentum kualiti dari segi latihan dan bimbingan agar pelatih-pelatih mendapat manfaat dan mampu pergi lebih jauh dalam sukan ini.”

“Semua jurulatih kita sebenarnya memang menunjukkan komitmen yang baik dalam melatih dan membimbing pelatih-pelatih setiap hujung minggu. Namun begitu kita mahu pelatih-pelatih kanak-kanak terutama pelatih berumur 10 tahun ke bawah terus diberi latihan dan bimbingan yang sesuai kerana ia akan memastikan kualiti mereka pada masa hadapan,” ujarnya.

Ramlye berkata, perbincangan TABS dengan Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Sazwan Imran baru-baru mengambil kira pendekatan untuk memperkasakan lagi kerjasama dan persefahaman kedua-dua pihak untuk manfaat bersama.

Beliau juga berterima kasih kepada pengurusan Sabah FC kerana memberi peluang pelatih-pelatih TABS menjadi pengiring pemain ketika Sabah FC menjadi tuan rumah perlawanan Liga Super di Stadium Likas.

“Ia akan bermula Selasa ini dan perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.