Oleh: Zakaria Damit
Kota Kinabalu: Dua bekas pemain kebangsaan, Amri Yahya dan N Thanabalan kini berada di Kota Kinabalu untuk mengikuti sesi pemilihan yang dijangka bakal diadakan tidak lama lagi.
Pengendali Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto ketika dihubungi melalui pesan ringkas apikasi whatsapp oleh SabahNewsToday mengesahkan dua pemain itu akan menyertai sesi pemilihan skuad Badak.
Amri Yahya pernah bersama Johor Darul Takzim (JDT) manakala Thanabalan dengan skuad Negeri Sembilan mencuba nasib untuk menyarung jersi Sabah bagi menghadapi saingan musim baharu Liga Super.
Menurutnya, walaupun kedua-duanya mempunyai latar belakang baik dalam karier bola sepak, ianya bukan jaminan untuk terus menyarung jersi Sabah.
“Mereka telah datang untuk sesi pemilihan….Kita hormat dengan mereka tapi pihak kita akan putuskan setelah melihat prestasi permainan mereka nanti..Kita akan lihat sama ada mereka sesuai dengan plan dalam pasukan kita atau tidak.
“Jika kedua-dua mereka sesuai serta serasi dengan Sabah FC kita akan pertimbangkan…Kita tidak mahu memilih pemain berdasarkan pencapaian atau latar belakang mereka sebelum ini..mereka perlu buktikan keupayaan mereka dalam sesi pemilihan nanti,” katanya.
Amri sebelum ini beraksi bersama Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United manakala pasukan terakhir disertainya ialah Sarawak United FC.
Sementara itu, Thanabalan pula sebelum ini pernah beraksi dengan Negeri Sembilan, Felcra dan Kedah manakala pasukan terakhir disertainya ialah Perak II.
Dia juga pernah mewakili skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) dan B-U23.
Sabahnewstoday