KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberikan sumbangan RM50,000 untuk Pasukan Bolasepak Bawah 15 tahun dan Bawah 18 tahun mewakili Sabah pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor.
Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Alfred Angin berkata Kerajaan Negeri mengambil perhatian perkara itu biarpun bukan dibawah tanggungjawab kementeriannya tetapi faktor pelajar-pelajar mewakili Sabah harus diutamakan.
“Saya selaku Menteri Belia dan Sukan Sabah memandang serius mengenai hal ini. Isu sebegini tidak boleh dipandang enteng memandangkan ianya melibatkan masa depan atlit pelapis sukan bolasepak negeri kita.
“Kita tidak mahu bakat anak-anak muda ini sampai disini sahaja. Kita harus membantu mereka merealisasikan hasrat mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama, pembantu menterinya Datuk Fairuz Renddan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Raisin Saidin.
Semalam viral keluhan seorang guru mengenai pasukan bolasepak MSSM kategori Lelaki B18 dan B15 Sabah yang tidak dapat dihantar ke Kejohanan MSSM peringkat kebangsaan di Johor kerana kekangan kewangan.
Ellron berkata sebagai bekas atlit sukan, beliau memahami perasaan dan keterujaan untuk pelajar ini mewakili Sabah pada kejohanan peringkat kebangsaan.
“Justeru, kita tidak mahu mengecewakan anak-anak kita ini kerana kejohanan seperti ini penting untuk mereka berjaya ke peringkat lebih tinggi lagi pada sukan yang disertai,” katanya.
Dalam pada pada, Raisin menghargai keperihatinan Kerajaan Negeri membantu membiayai kewangan pasukan bolasepak Sabah bawah 15 dan bawah 18 tahun ke Kejohanan MSSM di Johor itu.
Katanya sebanyak RM61,000 diperlukan untuk kos pasukan tersebut untuk menyertai kejohanan itu.
“JPNS akan membiayai kos tambahan RM11,000 itu dan pada masa sama beberapa pihak termasuk individu dan swasta tampil menyatakan hasrat untuk membantu ,” kata Raisin.