TABS SAFA Bandaraya jalin kerjasama dengan PIP Akademi Bola Sepak Brunei

KOTA KINABALU: TABS SAFA Bandaraya menjalinkan kerjasama dengan Akademi Bola Sepak Negara Brunei Darussalam, Projek Ikan Pusu (PIP) bagi berkongsi pengalaman dalam program pembangunan sukan bola sepak.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim berkata kedua-dua pihak akan saling bekerjasama dalam usaha memantapkan lagi program pembangunan masing-masing.

“Kita sangat mengalu-alukan kunjungan mereka ke Sabah kali ini untuk menjayakan program persahabatan yang tentunya memberi manfaat kedua-dua pihak,” katanya selepas menyambut ketibaan rombongan PIP Brunei di perkarangan Stadium Likas, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Presiden II SAFA Bandaraya Matasan Ahmad, Setiausaha Juraidah Abdul Rahim, Pengerusi TABS Sulaiman Md Noor, Setiausaha TABS Amsir Abdullah dan ahli jawatankuasa TABS Moksin Dusin.

Rombongan PIP diketuai Omar Jamil terdiri daripada lebih 50 orang termasuk pemain, jurulatih dan pegawai.

Menurut Lokman program persahabatan itu bermula semalam membabitkan perlawanan persahabatan kategori bawah umur 12 tahun di padang TABS dan perlawanan bagi kategori umur bawah 15 tahun yang akan diadakan di padang sintetik Kompleks Sukan Likas hari ini.

Beliau berharap program tersebut membolehkan kedua-dua pihak dapat berkongsi pengalaman bagi memantapkan lagi program pembangunan yang mereka jalankan ketika ini.

“Kita dimaklumkan PIP Brunei merupakan antara akademi terbaik di Asia dan ia sudah tentu baik untuk kita berkongsi pengalaman dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, ini adalah kunjungan ketiga mereka ke Sabah yang mana kali terakhir mereka datang berkunjung ke sini empat tahun lepas.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada TABS kerana sudi menerima kehadiran kami sekali lagi ke negeri ini,” kata beliau.