KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian selama 42 tahun untuk mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 secara merit selepas membelasah Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Selaku naib juara kumpulan E, dengan mengumpul enam mata di belakang pendahulu, Bahrain, sembilan mata, skuad negara mendahului Bangladesh 1-0 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-16 namun tuan rumah tersentak apabila Bangladesh menyamakan kedudukan menerusi Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.
Skuad bimbingan Kim Pan Gon meneruskan serangan sebelum mendahului 2-1 hasil jaringan Dion Cools’ pada minit ke-38.
Serangan bertali arus pada babak kedua berjaya menghasilkan dua lagi gol menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-47 dan Darren Lok, pada minit ke-73 sekali gus meletakkan Malaysia dalam posisi selesa.