KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan pemburuan gelaran Liga Super kesembilan berturut-turut dengan mencatakan kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Skuad Harimau Selatan yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah menerusi kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC pada minggu lepas, bagaimanapun terpaksa bekerja keras dengan serangan bertali arus untuk memecahkan kubu pertahanan Penang bagi mencari jaringan berharga itu.
Selepas berusaha selama 70 minit, pemain import dari Brazil Bergson da Silva berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi.
-BERNAMA