KOTA KINABALU : Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye berkata, peluang pelatih-pelatih mereka untuk menjadi escort pemain Liga Super musim ini meningkatkan kecintaan mereka terhadap sukan bola sepak di samping membolehkan mereka sentiasa berdisiplin.
Katanya, selain pelatih-pelatih tersebut menjalani latihan dalam program pembangunan bola sepak, peluang yang diberikan sebagai pengiring pemain mengujakan mereka setiap kali diberi peluang.

“Kita sebenarnya sangat menghargai kepercayaan Sabah FC kepada pelath-pelatih kami kerana peluang itu menyemarakkan kecintaan mereka terhadap sukan bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelatih-pelatih bertambah konfiden dan dapat merasakan aura yang dimiliki pemain-pemain profesional.
“Bagi kita, ini sangat baik untuk pelatih-pelatih terbabit dan dalam usia kanak-kanak, tangan mereka sudah dibimbing oleh pemain-pemain profesional. Pengalaman seperti itu hanya mereka saja yang dapat merasakannya,” ujar Ramlye.
Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Sabah FC kerana kepercayaan itu diberikan kepada TABS sebagai sebahagian tanggungjawab kedua pihak menerusi kolaborasi antara kelab itu dengan TABS sebelum ini.
Katanya, kerjasama baik serta sokongan penuh ibu bapa pelatih turut membantu penugasan kepada pelatih menjadi lebih mudah dan lancar.
Sementara itu, kehadiran legenda bola sepak, Datuk Hassan Sani untuk beramah mesra dengan pelatih-pelatih TABS yang menjadi pengiring pemain dalam perlawanan terakhir Liga Super antara Sabah FC dan Perak FC di Stadium Likas, semalam dapat menyuntik semangat pelatih terbabit.
“Kita melihat keterujaan di wajah pelatih-pelatih tersebut dan ia sangat baik dalam usaha menyemaikan bakat bola sepak dalam jiwa mereka,” kata Hassan.