KOTA KINABALU: Sabah FC berharap sokongan padu penyokong mampu mencapai keputusan positif menentang PJ City FC di Stadium Likas malam esok.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, kehadiran penyokong pada dua perlawanan lepas sangat membantu pasukan sehingga mencapai kemenangan sabtu lalu.
“Apabila kita bermain dalam perlawanan penting seperti ini dan kita tahu penyokong merupakan salah satu aspek di mana kejayaan sesebuah pasukan tersebut.
“Saya berharap penyokong di sekitar Kota Kinabalu atau pun dari seluruh Sabah dapat hadir pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D. Ini penting untuk memastikan pemain mendapat suntikan moral.
“Ini akan membantu prestasi mereka dan saya percaya mampu berubah sesuatu pasukan untuk layak ke peringkat seterusnya dengan sokongan padu semua penyokong tegar Sabah FC,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Kim Swee berkata, esok merupakan perlawanan yang paling penting serta boleh diibaratkan sebagai perlawanan akhir sekali gus akan menentukan sama ada layak ataupun tidak.
“Jadi strategi perlawanan adalah untuk kita memastikan dapat kemenangan walaupun seri kita akan terkeluar.
“Strategi sudah tentu kita perlu memikirkan corak serangan namun kita tahu pasukan PJ City FC mempunyai rekod yang baik terutama bermain dalam perlawanan yang penting dan mereka membuktikan ketika bermain dengan JDT.
Kim Swee berkata, mereka mampu menyaingi mereka serta berharap pemain dapat menumpukan perlawanan sehingga wisel terakhir seperti mana dilakukan ketika bertemu dengan Kelantan FC, berusaha sehingga minit terakhir.
“Setakat ini beberapa pemain masih lagi mengalamii kecederaan termasuk Park, Risto dan juga Hanafie termasuk Syukri.
“Kita masih lagi mempuanyai sehari sebelum perlawanan. Manakala kesebelasan utama hanya akan ditentukan sebelum sepak mula. Apa yang paling penting sesiapa diturunkan esok harus memberikan persembahan dan prestasi yang terbaik mereka,” katanya.