KOTA KINABALU : TABS-Sabah FC akan terus memperbaiki prestasinya dalam saingan Liga Suparimau 2024 Season khususnya dalam kategori B16 yang menyaksikan pasukan itu berkongsi mata dengan pasukan KKFC setelah mencatat keputusan 0-0 di padang A Kompleks Sukan Likas di sini pada Ahad.
Jurulatih pasukan, Rosly Jamal berkata, pihaknya mendapati ada ruang untuk mempertingkatkan lagi prestasi pasukan dalam perlawanan berikutnya selepas ini.
“Kita akan terus perbaiki prestasi dan akan kembali bangkit dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
Menurut beliau, disebabkan ini merupakan perlawanan pertama pasukan mungkin pemain-pemain masih mencari keserasian dalam perlawanan sebenar.
“Pemain-pemain menunjukkan corak permainan yang baik dalam latihan tetapi persembahan mereka terutama melakukan penyudahan masih perlu dimantapkan,” ujarnya
Rosly dibantu jurulatih Hassan Madisah dan Musmulyadi sebagai jurulatih penjaga gol.
Sementara itu, Naib Pengerusi TABS, S.A Ramly pula berkata, secara keseluruhan pencapaian pasukan TABS dalam liga minggu ini agak memberangsangkan apabila dalam kategori B10, pasukan TABS Mix 9 menang besar 14-0 ke atas KIS Vipers di padang sintetik pada Sabtu.
Katanya, ia satu kemenangan yang baik dan pasukan itu perlu meneruskan momentum kejayaan secara berterusan.
Manakala dalam kategori B12, pasukan TABS-Sabah FC seri 0-0 dengan pasukan Kidball dalam satu perlawanan yang sengit.
“Pasukan bermain baik sepanjang perlawanan namun perlawanan itu yang pertama bagi mereka dan pemain-pemain masih mencari rentak untuk melakukan penyudahan yang berkesan,” katanya.