Oleh: Zakaria Damit
KOTA KINABALU: Semua pemain Sabah FC perlu melupakan kekalahan 0-1 kepada PJ City FC Sabtu lalu sekaligus fokus kepada kemenangan menentang Sri Pahang FC (Selasa) esok.
Penolong Ketua Jurulatih Sabah FC Burhan Ajui berkata, sememangnya tuan rumah Sri Pahang FC mempunyai kelebihan apabila bermain dilaman sendiri namun tidak mustahil kemenangan mampu berpihak kepada Sabah FC.
Katanya, pemain perlu fokus kepada perlawanan esok tanpa memikirkan tekanan selepas mengalami kekalahan sabtu lalu di Stadium Likas.
“Kalau dilihat tiga perlawanan awal Sabah FC bermain dengan baik namun terdapat kelemahan di bahagian penyudah serta hadapan….Kita sudah perbaiki kelemahan sedia esok kita lihat perkembangannya.
“Kita mahu pemain memberi tumpuan serta fokus kepada perlawanan “away” ini sekaligus mengikut arahan yang sudah diberikan oleh pihak kejurulatihan ketika menentang Sri Pahang FC,” katanya ketika dihubungi di Kuantan petang tadi.
Burhan berkata, mana-mana pemain serta pasukan pasti akan mengalami masalah sama untuk mengutip tiga mata ketika bermain di tempat lawan.
“Tekanan itu tetap ada….kita tidak dapat nafikan kerana Sabah FC gagal mengutip mata dan memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri minggu lalu,” katanya.
Burhan berkata, peluang untuk mengutip tiga mata esok tetap terbuka luas sekiranya kedua-dua pasukan mempamerkan mutu permainan yang diharapkan oleh pasukan kejurulatihan.
“Sekiranya pemain Sabah FC mengikut perancangan pihak pengurusan tidak mustahil kita akan membawa pulang tiga mata esok,” katanya.
SabahNewsToday