KOTA KINABALU : Pasukan TABS akan melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Piala Borneo selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Naib Pengerusinya, S.A Ramlye berkata, ia sejajar dengan langkah yang diambil TABS untuk menghadapi persiapan lebih awal kira-kira lima bulan sebelum kejohanan.

Katanya, memandangkan sesi latihan hujung minggu Program Pembangunan Bola Sepak TABS berehat sementara pada bulan Ramadan maka persiapan hanya boleh dilakukan selepas Aidilfitri.
“Ia termasuk menyenaraikan pemain untuk kategori umur masing-masing di samping memutuskan penugasan jurulatih yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ramlye berkata, TABS akan menyertai tujuh kategori termasuk kategori B18 yang baharu diperkenalkan tahun ini.
Ini bermakna pasukan lain ialah B11, B12, B13, B14, B15 dan B16.
Menurut beliau, pihaknya akan terus memastikan momentum persembahan pemain-pemainnya dipertingkatkan disebabkan saingan dari pasukan negara luar.
“Piala Borneo yang kita sertai setiap tahun penting untuk TABS kerana membabitkan pasukan-pasukan dari luar dan kita perlu bersaing dengan mereka untuk menimba pengalaman,” ujarnya.
Tahun lepas, TABS memenangi naib juara untuk kategori B15 dan menduduki tempat ketiga dalam kategori B16 selain melakukan saingan dalam kategori yang lain.
“Kita akan berusaha menyediakan pasukan yang lebih mencabar tahun ini dan yakin ia boleh direalisasikan menerusi persiapan yang lebih awal,” katanya.
Beliau juga memberitahu bahawa persiapan yang dilakukan itu tidak menjejaskan pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Suparimau yang akan bersambung selepas perayaan Aidilfitri.
Katanya, pasukan-pasukan itu akan meneruskan latihan mereka untuk menghadapi liga berkenaan, yang akan berlangsung setiap hujung minggu.
Serentak itu, kata Ramlye, satu mesyuarat membabitkan anggota pengurusan dan jurulatih akan turut diadakan selepas perayaan Aidilfitri bagi memuktamadkan persiapan mereka.